~TIPS PENJAGAAN IKAN LAGA~
Jangan
campurkan ikan laga
Ikan laga yang sudah menjangkau usia yang matang
tidak boleh diletakkan beberapa ekor di dalam satu tempat. Ini kerana ikan laga
berdarah fighter dan akan bertarung dan membunuh ikan laga yang lain. Ikan laga
jantan akan berlawan hingga salah seekor mati. Sekiranya ikan laga betina
dicampurkan dengan ikan laga jantan, ikan betina akan luka dan cedera teruk.
Kadangkala ikan betina juga akan mati. Ikan yang bergaduh dan cedera akan koyak
ekornya. Ini akan mengurangkan kecantikan ikan tersebut. Namun, ikan laga
betina boleh hidup secara berkelompok, dengan syarat ia dipelihara dengan
jumlah yang banyak dalam satu tempat.
Dapatkan bekas yang sesuai
Pastikan saiz bekas yang digunakan sesuai dengan
ikan laga kesayangan anda. Jangan gunakan bekas yang terlalu sempit. Kerana ini
akan mengehadkan pergerakan ikan tersebut. Bekas yang sesuai, ialah bekas yang
membolehkan ikan berenang. Bekas yang lutsinar, membolehkan kita melihat
kecantikan ikan dari sudut pandangan sisi.Jangan letakkan ikan di dalam tin,
kerana tin akan berkarat.
Letakkan tumbuhan
Tumbuhan air sebenarnya adalah sangat penting
dalam memelihara ikan hiasan. Tumbuhan berguna kerana ia hidup dengan
menggunakan bahan yang dikumuhkan oleh ikan. Kesannya, air akan sentiasa bersih
dari bahan2 yang tidak dikehendaki. Namun pemilihan tumbuhan juga perlulah
sesuai. Sebaiknya elakkan tumbuhan yang mengotorkan air. Ada tumbuhan yang
cepat mati dan menjadi lembik serta berlendir. Pastikan samada tumbuhan
tersebut memerlukan direct sunlight atau tidak. Namun, tumbuhan juga perlu
diselenggara, dibuang akar yang terlampau banyak, dibuang bahagian yang sudah
mati dan sebagainya.
Berikan makanan hidup
Ikan betta sangat sukakan makanan hidup. Antara
yang paling mudah didapati ialah jejentik. Nyamuk akan membiak di dalam air
yang tenang dan jernih. Ambillah sedikit jejentik, dan berilah ikan laga anda
makan seminggu atau dua minggu sekali.
Letakkan daun ketapang
Daun ketapang berupaya untuk menurunkan nilai pH
dalam air yang beralkali. Ianya juga berupaya untuk membunuh bakteria,
bertindak sebagai anti fungus dan agen anti kulat, meningkatkan tahap kualiti
air dan bertindak sebagai bahan tonik bagi kegunaan di dalam akuarium. Oleh
sebab itulah, ikan laga akan menjadi aktif apabila daun ketapang kering
dimasukkan di dalam air. Air rendaman daun ketapang akan mengandungi asid
organik seperti humik dan tanin. Asid ini akan mengurangkan nilai pH air serta
menyerap dan menyahtoksidkan beberapa jenis logam berat seperti zink, aluminium
dan kuprum. Daun ketapang bukan sahaja boleh digunakan untuk memastikan betta
anda sihat dan aktif, bahkan ia juga boleh digunakan sebagai bahan semulajadi
untuk merawat dan menghalang penyakit ikan. Sebagai contoh, di negara Thailand,
daun ketapang digunakan secara meluas sebagai bahan untuk merawat luka ikan
laga Siam selepas bertarung.
Letakkan kayu Hiasan
Letakkanlah kayu hiasan dan sebagainya, untuk
dijadikan tempat ikan laga anda bermain, menyorok dan berenang mengelilinginya.
Cara ini mungkin akan menggembirakan dan mengurangkan stress ikan laga
kesayangan anda. Ikan laga yang stress akan kurang berenang, statik di bahagian
dasar dan mempunyai warna yang pucat.
Tukar air tiga hari sekali
Air hendaklak ditukar bagi memastikan ikan
sentiasa sihat dan tidak berpenyakit. Kekerapan bergantung kepada saiz bekas
dan bagaimana kondisi tempat anda memelihara ikan tersebut. Sebaiknya air
ditukar selang tiga hari. Namun sekiranya anda ada meletakkan tumbuhan air, air
tidak perlu ditukar terlalu kerap, sebaliknya, tambahkan sedikit air yang baru.
Gunakan garam
Garam digunakan sekiranya ikan anda ditumbuhi
sawang putih yang melekat di insang. Dengan meletakkan sedikit garam biru, ikan
akan kembali sihat. Garam biru boleh diperoleh dari kedai ikan perhiasan.
Namun, jangan gunakan dalam kuantiti yang terlalu banyak kerana ia akan
menyebabkan ekor ikan menjadi koyak dan terluka. Hal ini kerana PH air yang
terlalu beralkali tidak sesuai dengan ikan laga.
Gunakan air yang sesuai
Ramai yang menggunakan air tapis untuk memelihara
ikan laga. Bagi yang tidak mempunyai air tapis masih boleh menggunakan air paip
yang ditambah anti klorin. Anti klorin boleh dibeli dari kedai ikan perhiasan.
Namun, adalah lebih baik menggunakan air paip yang telah lama ditadah dan
dibiarkan sekurang-kurangnya selama seminggu. Selain itu, anda boleh gunakan
air hujan. Air hujan didapati selamat untuk ikan laga.
Sayangi ikan anda
Tips terakhir ialah, sayangi ikan anda. Ikan akan
lebih sihat, aktif dan cergas sekiranya mendapat kasih sayang dan penjagaan
yang rapi. Beri makan mengikut waktu dan tidak dalam kuantiti yang terlampau
banyak. Sentiasa menjaga kualiti air dan hiasilah bekas atau akuarium dengan
tumbuhan dan sebagainya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Below antara my collections (baru ada 3 ekor) but dah rasa kemaruk untuk mencari lagi...Maybe akan survey-survey di KL...
Alasan ku, sebab cantik sangat dan cute.
Letak je cermin mesti kembang ekor....